Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan hari ini kerana memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 35 tahun itu dikatakan memuat naik status menghina Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerusi akaun Facebook Aaron Yee.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan, iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman juga sedang menyiasat pemilik akaun Gavin Lee dan Haizad Azhar kerana melakukan kesalahan sama.”

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap status yang dimuat naik pemilik akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikiri @FadiahNadwa kerana mempunyai unsur hasutan.

“Status dimuat naik ini boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, permusuhan dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Huzir menggesa orang ramai mendukung prinsip rukun negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara serta tidak membuat, menerbit atau mengedarkan apa-apa kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni.

“Polis turut menasihatkan semua pihak tidak menyalahi undang-undang dan akan bertindak tegas mengheret pesalah ke muka pengadilan.”- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.