KUALA LUMPUR – UMNO mengajak rakyat agar memberi peluang kepada Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk membentuk kerajaan dan memulihkan negara.
Pada masa sama, rakyat diminta supaya melupakan sekerat dua pemimpin yang sekian lama diberi peluang memimpin, tetapi telah menyalahgunakan kuasa apabila mengutamakan kepentingan politik daripada rakyat dan negara.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sudah sampai masanya rakyat merehatkan minda dan menyerahkan pentadbiran negara kepada kepimpinan baharu, yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
“Rakyat sudah letih dengan politik yang berkisar satu dua individu, (yang) berpuluh tahun lamanya (berkuasa).
“Mari kita sama-sama beri peluang kepada Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) untuk membawa negara ini ke hadapan dengan roh dan semangat baharu,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Muhyiddin memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri hari ini, selepas selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pagi semalam.
Dengan itu, beliau bersama pemimpin Muafakat Nasional (MN) telah membentuk kerajaan baharu, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad tumbang pada Isnin lalu.
Beliau turut mengulas kedudukan Pakatan Harapan (PH) dengan berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) Mei 2018, tidak ada satu pun parti dari PKR, DAP, Amanah dan PPBM ketika itu mendapat mandat penuh.
Semuanya, kata beliau, PH berjaya membentuk kerajaan berdasarkan gabungan parti pembangkang dan lompat melompat di kalangan Ahli Parlimen ketika itu.
“Apabila gabungan PH berpecah, maka gabungan baharu dari PN terbentuk. Itu yang terjadi sekarang. PH gagal, PN ganti,” katanya. – MalaysiaGazette