Ir. Khairil Nizam

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri diminta menggunakan saluran demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, sebagai sayap parti komponen kerajaan hari ini, pihaknya bersedia untuk mendengar dan menjadi mediator kepada suara anak muda.

Katanya, selaku generasi muda yang sedia mewarisi sebuah impian masa depan Malaysia Sejahtera, menyokong penuh tapak diletakkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk dipersadakan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin.

“Keadilan dan keseimbangan untuk seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum, bahasa, budaya dan agama, termasuk Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian federalisme telah menjadi intipati penting dikemukakan Presiden Pas.

“Ia iltizam, hasrat dan gagasan paling asas yang mesti didukung bersama secara komited oleh semua pihak demi perpaduan, pembangunan dan kemajuan masa depan Malaysia yang sejahtera, aman harmoni dan makmur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Khairil Nizam, agenda pemulihan ekonomi terutama merapatkan jurang kaya miskin dan meningkatkan tahap pendidikan mesti diutamakan, selain keseimbangan pembangunan seluruh negara.

Beliau menyeru kepada rakyat untuk menginsafi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah digagaskan oleh Pas dan menjadikannya sebagai budaya baru politik negara.

“Mari anak muda Malaysia, demi keharmonian dan perpaduan seluruh rakyat, kita bersama memacu negara agar lebih kuat dan dihormati serta menjadi contoh dalam segenap perkara.

“Hentikan permusuhan dan pemangsaan, sebaliknya mari kita besar dan putik mekarkan kasih sayang dan kecintaan kepada bangsa, agama, rakyat dan negara Malaysia ini.

“Suburkan semula erti kemerdekaan yang telah kita kecapi 62 tahun lampau bahawasanya kita bebas mendirikan negara menurut acuan kita sendiri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata, di situlah ikatan, kebersamaan dan hakikat jati diri yang sebenar dengan penuh bermaruah dan bertamadun terletak.

Beliau kemudiannya menjunjung setinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Mufti dan ulamak, pegawai tertinggi kerajaan, pasukan pertahanan dan keselamatan, penjawat awam dan petugas media.

“Juga semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung hingga peralihan kuasa berlaku secara aman dan mengikut lunas undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast