Perumahan kondominium mendapat banyak permintaan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah Titijaya Land Bhd. (Titijaya), hari ini mengumumkan kerjasama secara rasmi dengan Maybank Islamic bagi menawarkan program “HouzKEY” untuk pembelian hartanah syarikat tersebut.

Program “HouzKEY” merupakan inisiatif penyelesaian pembiayaan kediaman yang ditawarkan oleh Maybank Islamic dan Titijaya merupakan satu-satunya pemaju hartanah eksklusif ditawarkan oleh bank tersebut bagi tujuan membiayai pembelian projek hartanah yang terkini.

Di bawah pembiayaan ini, pembeli hartanah Titijaya kini boleh menikmati 100 peratus pembiayaan untuk kediaman yang dibeli selain dikecualikan sebarang bayaran ketika tempoh pembinaan.

Dalam erti kata lain, pembeli kali pertama dan pembeli yang mahu menaik taraf pemilikan kediaman boleh menikmati bayaran pendahuluan hanya satu peratus tanpa bayaran lain sehingga kediaman siap sepenuhnya.

“Kami menyasarkan khususnya kepada pemilik untuk menghuni fasa pertama projek perbandaran Damaisuria ini.

“Oleh itu kami melihat ia merupakan kerjasama hebat dengan Maybank bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan inovatif ini kerana ia membantu sebahagian pelanggan kami yang memerlukan kecekapan aliran tunai dan fleksibiliti dalam pembiayaan.

“Sebagai pemaju adalah menjadi tanggungjawab kami menyediakan penyelesaian pembiayaan dengan bekerjasama dengan institusi kewangan seperti Maybank untuk membantu rakyat Malaysia memiliki kediaman dengan Houzkey direka khusus untuk itu,” kata Pengarah Eksekutif Titijaya Charmaine Lim, di sini hari ini.

Hadir sama dipelancaran Program Houskey itu ialah Pengarah Urusan Maybank Real Estate Ventures, Sally Lye.

Sementara itu, Sally Lye menjelaskan menerus HouxKEY, pembeli boleh mengunci harga hartanah ketika ini untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kami percaya keinginan semakin meningkat untuk pemilikan kediaman di kalangan rakyat Malaysia bagaimanapun ketidakupayaan untuk memiliki kediaman kekal menjadi penghalang untuk yang berkeinginan memilik kediaman.

“Didorong oleh misi Maybank iaitu memudahkan pembiayaan, kami datangkan dengan insentif penyelesaian pembiayaan kediaman yang dipanggil “HouzKEY”, katanya.

Seiring Residensi merupakan projek perbandaran fasa pertama Damaisuria, merangkumi empat menara apartment servis yang menawarkan pilihan unit pelbagai saiz dari 668 kaki persegi hingga 972 kaki persegi dengan dilengkapi sehingga empat bilik. Menampilkan susun atur moden dan praktikal, ruangan ini direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup urban yang bergaya di kawasan Subang.

Terletak bersebelahan sempadan Kota Damansara dan Subang, Damaisuria adalah pembangunan pegangan bebas yang menawarkan kehidupan keluarga eksklusif yang mampu milik. Terletak di tengah-tengah persekitaran hijau yang menyegarkan serta dilengkapi pelbagai kemudahan.

Damaisuria merupakan lokasi kediaman ideal bagi menikmati kehidupan berkeluarga, tempat untuk membesarkan anak-anak atau tempat untuk menghabis masa-masa tua.

Ia amat mudah untuk diakses menerusi Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh raya Koridor Guthrie (GCE) Lebuh raya ELITE, selain Lebuh raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) yang hanya satu kilometer jauhnya akan menghubungkan secara terus ke Kota Damansara. – MalaysiaGazette