Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Seluruh kepimpinan dan ahli-ahli Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) di semua peringkat diingatkan tidak terlalu gembira dengan apa yang sedang berlaku sehingga hilang fokus.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa  mengingatkan BN dan MN agar tidak mencontohi Pakatan Harapan (PH) yang ego dan sombong dengan kuasa.

“Menghina dengan sewenang-wenangnya dan menggunakan kuasa untuk kezaliman, memungkiri janji dengan rakyat,” katanya dalam ciapannya di Twitter hari ini.

Sebaliknya, ujar beliau, BN dan MN perlu mendahulukan rakyat dan membaiki kesilapan.

Tegasnya, usaha mengejar jawatan dan meninggalkan asas perjuangan tetapi menumpukan kepada agenda dan piagam MN.

Ini kerana, katanya, negara memerlukan penyelesaian mutlak serta keamanan dan kestabilan perlu dikekalkan dan turut menggesa supaya perjuangan MN diteguhkan.

Dalam hantarannya terdahulu, Annuar berkata, UMNO mahu sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan 9 Mac ini ditangguhkan sementara waktu.

Menurutnya, penangguhan itu untuk memberi masa kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat semalam menyelesaikan beberapa perkara penting.

“Wajar ada penangguhan walaupun bukan kerana Covid-19. Banyak perkara perlu disempurnakan oleh kerajaan PN sebelum Parlimen bersidang.

“Ini melibatkan pembentukan Kabinet, pencalonan Speaker, soalan Ahli Parlimen dan jawapan dari pihak kerajaan,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat dilaporkan berkata, sidang Parlimen 9 Mac ini tidak akan ditangguhkan dengan alasan wabak Covid-19.- MalaysiaGazette