Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sejumlah tujuh kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia hari ini sekali gus menjadikan kesemua 36 kes di mana sebanyak 22 kes telah sembuh manakala 14 lagi masih dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan rakyat supaya tidak panik dan membuat pembelian panik.

Sebaliknya mereka perlu mengambil langkah penjagaan kesihatan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

Bagi mereka yang pernah mengunjungi negara berisiko seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Itali pula perlu mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan yang telah dikeluarkan.

“Mereka juga harus segera ke hospital atau klinik sekiranya mempunyai simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas,” nasihatnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mengenai status terkini wabak novel koronavirus melahirkan rasa puas hati dengan agensi kerajaan yang telah menguruskan tugas mengekang penularan Covid-19 di Malaysia.

“Beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan. YAB Perdana Menteri juga mengarahkan agar Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha-usaha pencegahan penularan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Sehingga jam 8.00 pagi, 3 Mac 2020, jumlah keseluruhan kes COVID-19 adalah sebanyak 90,306 kes yang melibatkan 70 buah negara dilaporkan. Sebanyak 45,603 (50.5 peratus) kes sembuh dan 3,084 (3.4 peratus) kematian dicatatkan.- MalaysiaGazette