Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Cabaran besar buat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini adalah memastikan keadaan politik negara berada dalam keadaan stabil sehingga pilihan raya yang akan datang.

Muhyiddin juga perlu memastikan beliau menerima sokongan yang selesa daripada Ahli Parlimen (MP).

Pemerhati politik, Profesor Dr Ahmad Marthadha Mohamed berkata, Muhyiddin memerlukan sokongan antara 125 hingga 130 Ahli Parlimen untuk mengelakkan berhadapan dengan risiko sekiranya usul undi tidak percaya dibuat Pakatan Harapan (PH).

“Saya tengok kerajaan pada hari ini sekiranya mereka memperolehi cukup sokongan sekurangnya-kurangnya mempunyai 125 hingga 130 (Ahli Parlimen) maka pasti akan stabil tapi kalau sokongan yang diperolehi hanya majoriti tipis memang tetap akan sukar.

“Bagi saya sebab itulah Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan yang ada akan cuba untuk memastikan sokongan mereka perolehi agak stabil.

“Jadi cabaran terbesar beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat ini adalah memastikan kestabilan politik wujud, khususnya sokongan kepada beliau bertahan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, PH mendakwa mereka mempunyai sokongan 114 Ahli Parlimen bagi membolehkan perikatan itu  mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Malah PH akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat akan datang susulan perlantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang mana gabungan parti politik itu mendakwa tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Sementara itu, Ahmad Marthadha percaya penangguhan persadangan Dewan Rakyat mempunyai kaitan dengan usaha Perdana Menteri kelapan itu bagi menambah sokongan selain memastikan usaha PH untuk melakukan sesuatu tidak akan berjaya.

“Kenapa beliau menunggu lama sikit persidangan Parlimen? (Ia) untuk memastikan (dirinya) dapat cukup sokongan supaya apabila bersidang (jadi) walaupun ada yang ingin mnyuarakan undi tidak percaya ia tidak akan memberi kesan kepada kerajaan,” ujar beliau.

Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Mac ini ditangguhkan kepada 18 Mei depan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pertukaran tarikh persidangan Dewan Rakyat adalah prosedur biasa bagi sebuah kerajaan baru.

Selain perlu memastikan kestabilan kedudukan, tambah Ahmad Marthadha, kerajaan yang ditubuhkan Perikatan Nasional perlu mempunyai sokongan padu bagi memastikan perjalanan pentadbiran negara lancar khususnya melibatkan pembentukan dasar. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Selagi Kerajaan mengenepikan suara rakyat dari kaum Cina, khususnya DAP selagi itulah Kerajaan tidak akan stabil.

    Parti melayu sendiri pun tak boleh memantapkan kerajaan sedia ada.

Comments are closed.