LONDON – Berita baik buat Manchester United apabila pemain tengahnya, Paul Pogba akan menjalani latihan bersama pasukan utama pada minggu ini.
Pogba tidak menjalani latihan bersama pasukannya hampir tiga bulan kerana berdepan kecederaan di buku lali dan menjalani pembedahan sehingga memaksa pemain itu berehat panjang.
Namun sejak beberapa minggu lalu, pemain antarabangsa Perancis itu sering memuat naik video mengenai proses pemulihan menerusi latihan intensif di gimnasium.
Pogba juga telah kembali ke Carrington selepas banyak menghabiskan masa di Dubai sebelum ini untuk menjalani proses pemulihan kecederaannya.
Meskipun begitu, keadaan kecederaan pemain ini masih dipantau dengan teliti oleh pasukan perubatan United.
Hasil pemeriksaan kecederaan Pogba menunjukkan tanda-tanda positif sehingga mendapat lampu hijau daripada pihak perubatan United kembali menjalani latihan sepenuhnya pada minggu ini.
Pogba diperkirakan akan membuat kemunculan di Liga Europa menentang LASK di tempat lawan. Namun jika tidak sempat cergas, dia hanya akan kembali apabila United menghadapi Tottenham tiga hari kemudian. – MalaysiaGazette