Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup tinggi hari ini disokong oleh penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa dengan saham kewangan tempatan meraih manfaat daripadanya.

Unit tempatan naik 0.63 peratus atau 265 mata asas kepada 4.1780/1830 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2045/2085 pada Selasa.

Ambank Research dalam nota penyelidikannya berkata penurunan OPR mungkin menyediakan sedikit rangsangan positif dalam tempoh jangka pendek bagi ringgit untuk meningkat berbanding dolar AS sebanyak kira-kira 0.1 peratus atau 0.2 peratus.

Pada Selasa, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Selain itu, kekukuhan ringgit juga mendapat rangsangan daripada sentimen pasaran yang positif dan mesej jelas dan menyakinkan daripada perdana menteri yang baru dilantik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas seminggu negara dilanda kemelut politik, pasaran nampaknya berasa yakin dengan janji perdana menteri untuk membawa kembali negara ke landasannya dengan kerajaan yang bersih, jujur dan bebas rasuah.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0179/0220 daripada 3.0194/0233 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8887/8944 daripada 3.8934/8982.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3403/3484 daripada 5.3725/3793 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6606/6678 daripada 4.6775/6836 sebelumnya.

— BERNAMA