Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid

KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid berjanji akan kembali ‘mengaum’ selepas mempamer aksi longlai dalam tiga aksi diharungi awal musim ini.

Prestasi Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu mula dipersoal penyokong apabila dia dilihat gagal meneruskan rentak konsisten musim lalu selepas bergelut memberikan impak seperti yang diharapkan kepada pasukannya.

Malah, prestasinya yang merudum itu turut mendapat perhatian pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan fokus pemain itu hilang selepas dikatakan berdepan tekanan apabila didesak untuk berkahwin daripada kekasihnya yang juga seorang pelakon, Syifa Melvin.

Lantaran itu, pemain berusia 22 tahun itu tampil memohon maaf kerana gagal beraksi dengan baik sekalipun pasukannya berjaya mencatat kemenangan dalam dua aksi terdahulu.

“Kemenangan yang hebat buat JDT malam tadi (kelmarin). Dalam masa yang sama saya ingin minta maaf terhadap prestasi saya dan saya akan cuba tingkatkan tahap prestasi saya.

“InshaAllah next game (perlawanan seterusnya) saya cuba bagi lagi yang terbaik untuk Team (pasukan). Tanpa ada sokongan daripada anda semua, belum tentu saya boleh berada pada tahap ini,” katanya menerusi laman sosial Instagramnya, hari ini.

Hari ini, peminat bola sepak dikejutkan dengan pendedahan Tunku Ismail terhadap seorang pemain JDT yang berdepan masalah prestasi dan meskipun tidak menamakan pemain itu, ia dipercayai ditujukan kepada Safawi.

“Kemaruk sangat paksa ‘boyfriend’ kahwin. Beri tekanan setiap hari suruh ‘boyfriend’ kahwin pasal takut terlepas, ‘boyfriend’ kaya, popular.

“Satu keluarga kemaruk cari lelaki kaya dari dulu. Patut makin hancur ‘performance’ budak ini. Kepala dah tak ada dalam padang,” kata Tunku Ismail menerusi laman sosial Instagramnya.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut mahukan Safawi supaya dapat segera bangkit untuk memperagakan prestasi terbaik jika mahu terus kekal berada dalam pasukan itu.

“Tidak ada sesiapa yang lebih besar daripada kelab. Kalau kepala dah tak boleh fokus pasal asyik kena ‘pressure’ setiap hari di paksa kahwin. Semoga maju jaya.Dalam hidup ada manusia bawa rezeki ada manusia bawa s***,” kata Tunku Ismail.

Bagaimanapun, kenyataan itu sudah dikeluarkan daripada laman sosial berkenaan. – MalaysiaGazette