Datuk Ir Hasni Mohamad, Menteri Besar Johor yang dilantik mengetahui kerajaan gabungan baharu bakal menyerahkan nama barisan Exco kepada Istana.

KUALA LUMPUR – Sejak petang tadi sudah mula tersebar senarai nama barisan Exco Johor yang baharu yang dijangka mengangkat sumpah pada Jumaat ini.

MalaysiaGazette difahamkan nama yang ditelah disenaraikan oleh parti-parti gabungan baharu kerajaan negeri Johor itu melebihi 10 orang dan akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada esok.

Antara nama yang disebut ialah Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang), Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan), Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang), Datuk Ayub Jamil (BN-Rengit), Datuj Syed Sis A. Rahman (BN-Tanjung Surat), Nor Rasidah Ramli (BN-Parit Raja), dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyanathan (BN-MIC).

Bagi Pas pula satu-satunya calon mereka ialah Najib Lep (Bukit Pasir).

Nama barisan Exco parti Bersatu pula ialah Pengerusinya, Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) Mohd. Solihan Badri (Tenang), Rasman Ithnain (Sedili), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) dan Alwiyah Talib (Endau).

Satu-satunya wakil masyarakat Tionghua ialah Dr Chong Fat Full (Pemanis) yang mengumumkan keluar PKR untuk menjadi ADUN bebas dan menyokong gabungan baharu kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Hasni, pada sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook tadi memberitahu, barisan Exco kerajaan negeri Johor yang baharu dijangka mengangkat sumpah pada Jumaat ini, jika nama yang dicadangkan memdapat perkenan Sultan Johor.

Beliau menegaskan, kesemua nama yang dicadangkan oleh parti-parti yang menyertai gabungan baharu bagi membentuk kerajaan negeri Johor itu sudah dikumpulkan, dan nama yang dipersembahkan adalah lebih daripada 10 orang.

“Senarai cadangan nama bagi barisan Exco baharu akan dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada esok (5 Mac).

“Jika tiada halangan, upacara angkat sumpah akan diadakan pada Jumaat ini,” katanya. – MalaysiaGazette