PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan majikan tidak perlu mengambil langkah menutup pejabat masing-masing ekoran penularan Covid-19.
Menurut beliau, ia disebabkan wabak ini masih terkawal dan tindakan pembersihan ruang pejabat sahaja perlu dilakukan.
“Tidak perlu tindakan untuk menutup pejabat, langkah yang perlu diambil adalah untuk bersihkan ruang pejabat itu,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya berharap semua pihak bertenang dan sentiasa bekerjasama dengan memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan organisasi yang telah dikesan kes positif agar tidak menutup pejabat, sebaliknya memadai dengan melakukan disinfeksi.
“Jika pihak majikan mahu melakukan pembersihan menyeluruh, KKM tidak ada halangan.
“Tidak perlulah sampai tutup pejabat, cuma bersihkan ruang pejabat itu sahaja,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Felcra Berhad (Felcra) menghentikan operasi di ibu pejabatnya bermula hari ini hingga 6 Mac ini selepas seorang daripada Ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor dilaporkan berkata, pemberhentian operasi itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh. -MalaysiaGazette