Mohd Shaid Rosli.

PUTRAJAYA – Sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap pimpinan Kerajaan Negeri Selangor.

Seramai empat daripada lima ADUN Bersatu itu hari ini berkata mereka menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.

Mereka terdiri daripada ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin; Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

“Kita mohon pandangan beliau berkenaan kedudukan ADUN Bersatu di Selangor yang semua kita maklum, terputus dalam pakatan.

“Daripada hasil perbincangan semua ADUN Bersatu seramai empat orang menyokong kerajaan Pakatan Harapan Selangor,” kata Sallehudin.

Keempat-empat mereka berkata demikan pada sidang media, di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini selepas menemui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendirian seorang lagi ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari tidak dapat dipastikan lagi sehigga kini.

Ini kerana Pengerusi Bersatu Selangor itu tidak bersama-sama mereka pada sidang media, hari ini.

Salehuddin berkata, Abdul Rashid gagal dihubungi untuk berbincang mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan negeri Selangor.

Dalam pada itu, satu pertemuan dengan Amiruddin akan dibuat mereka esok bagi membincangkan sama ada terus sebagai ahli parti itu atau sebaliknya dalam menyokong kerajaan PH Selangor.

“Kami masih menghargai mandat yang diberikan rakyat. Pada 9 Mei kami diberi mandat oleh rakyat.

“Justeru, kami berpegang dengan prinsip untuk bersama dengan PH. Dalam pertemuan dengan Tun, beliau meminta kami membuat keputusan,” katanya.

Amiruddin hari ini berkata, semua pimpinan Bersatu di setiap peringkat pentadbiran dalam Kerajaan Negeri Selangor akan dilucutkan jawatan mereka serta-merta.

Ia susulan daripada tindakan Bersatu mengumumkan keluar daripada PH pada 24 Februari lalu.

Antara yang hilang jawatan adalah, Abdul Rashid yang menjawat jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor. -MalaysiaGazette