Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 05 MAC 2020

SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan tidak membuli kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dalam soal pemberian peruntukan pembangunan selepas Kerajaan Persekutuan berubah sejak 1 Mac lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, Muhyiddin tidak perlu mengikut amalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang meminggirkan negeri-negeri pembangkang.

“Saya tak risau, cuma saya berharap sikap profesionalisma dalam kalangan penjawat awam dan pimpinan kerajaan baharu.

“Saya harap semangat itu dikekalkan. PH sudah buktikan 22 bulan lalu tak meminggir atau memberi layanan anak emas kepada mana-mana negeri.

“Kalau Tan Sri Muhyiddin nak jamin kerajaan berintegriti itu, jangan hanya keluar dengan kata-kata saja.

“Tapi tindakan menyamai apa yang dilakukan oleh rejim BN dahulu yang agak keras, tidak bertanggungjawab malah membuli kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Beliau mengulas hubungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri selepas perubahan tampuk pemerintah yang bukan lagi di bawah Kerajaan PH.

Bagaimanapun permintaan Amirudin kepada Muhyiddin itu dilihat sebagai dwi-standard apabila Kerajaan PH Selangor sendiri membuli pemimpin pembangkang daripada Bersatu dan bebas.

Ia susulan keputusan Kerajaan Negeri Selangor hari ini yang membekukan peruntukan kawasan kesemua lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dan dua Bebas.

Antaranya Mohamed Azmin selaku ADUN Bukit Antarabangsa dan ADUN Gombak Setia, Mohd Hliman Idham.

Manakala wakil rakyat Bersatu ialah ADUN Batang Kali, Harumaini Omar; ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli; ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin; ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dan ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.