Hanya penduduk tempatan dan rakyat asing yang berada di Arab Saudi dibenarkan mengerjakan ibadat haji pada tahun ini. Gambar hiasan

RIYADH – Arab Saudi meluaskan larangan umrah di Mekah dan Madinah kepada warga negaranya dan penduduk tetap berikutan kebimbangan penularan wabak koronavirus.

Bagaimanapun, penduduk Arab Saudi masih boleh melawat Mekah dan Madinah serta berdoa di sana, dengan syarat mereka tidak pergi untuk tujuan umrah, kata Menteri Haji, Abdulfattah Mashat kepada Al Arabiya TV.

Riyadh melaporkan kes pertama selsema pertama pada hari Isnin dan kes kedua semalam. Kedua-duanya rakyat tempatan yang tidak memaklumkan kunjungan mereka ke Iran.

“Berdasarkan cadangan jawatankuasa yang dilantik untuk memantau koronavirus … ia telah memutuskan untuk menggantung umrah untuk rakyat dan penduduk di dalam negara,” kata agensi berita SPA yang memetik sumber rasmi di Kementerian Dalam Negeri.

Arab Saudi merekodkan sejumlah 2 juta jemaah umrah setiap tahun yang bermula selepas musim haji.

Menurut SPA, keputusan terkini itu akan disemak sentiasa dan penggantungan itu akan ditarik balik jika situasi berubah.

Dr. Sami Angawi, seorang pakar berhubung Mekah dan Madinah serta haji berkata, sekatan terkini tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam sebelum ini.

Namun, beliau menyifatkan langkah ini sebagai “keputusan bijak dan berani … untuk melindungi pusat dunia Islam.”

Minggu lalu Arab Saudi menggantung visa umrah untuk warga asing dan seluruh Teluk dalam usaha menangani wabak koronavirus. – MalaysiaGazette