Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 05 MAC 2020

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau tidak akan mengikut jejak langkah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai kerajaan pintu belakang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu juga komited untuk setia bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

“Saya orang parti, bukan orang pintu belakang. Saya bersama Keadilan sekarang, saya tidak sertai beliau (Azmin) jadi bebas atau dipecat.

“Saya hanya sertai dan bersama beliau selagi mana beliau berada dalam Keadilan.

“Tapi bila beliau tinggalkan parti (Keadilan), jadi saya setia bersama,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin dilabelkan sebagai anggota kumpulan kartel kerana mempunyai hubungan rapat dengan Mohamed Azmin.

Kemuncak krisis di antara kem Mohamed Azmin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ketara apabila bekas Timbalan Presiden PKR itu dihalang untuk merasmikan sayap PKR pada Kongres Keadilan Nasional di Melaka, tahun lepas.

Dalam pada itu, Amirudin juga yakin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR Selangor yang lain akan menyokong PH walaupun ada cubaan tertentu untuk menggugat kesetiaan mereka.

“Saya akan bersama dengan Keadilan sebagai mana janji saya dalam kempen pada PRU14 lalu, saya tunaikan janji kepada rakyat.

“Begitu juga yang berada di sini, (walaupun) cubaan untuk mengaitkan sebahagian Exco dan ADUN (kem kartel).

“Namun mereka komited kepada Keadilan, saya temui mereka dan mereka akan tetap bersama Keadilan dan menyokong dasar-dasar PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Banyak anjing2 liar kat taman2 perumahan kat Selanor ni? Kesian anak2 tunggu bas sekolah dekat bas stand subuh2 sepi’e ketakutan diserang anjing liar!

    Tak kan nak buat aduan hari2?

    Bila MB nak ambil tindakan? dah bertahun2 dah ni, dah tak tahan dah!

Comments are closed.