Chelsea menuntut 70 juta pound daripada Barcelona untuk Willian

LONDON – Willian dilaporkan telah menolak tawaran kontrak baharu daripada Chelsea.

Ia sekaligus membuka ruang untuk pemain sayap berusia 31 tahun itu mencari kelab baharu.

The Sun di United Kingdom mendakwa bintang Brazil itu ditawarkan kontrak baharu dua tahun oleh Pengurus the Blues, Frank Lampard selepas dia mengambil peranan sebagai pemain penting daripada Eden Hazard yang berhijrah ke Real Madrid.

The Blues mempunyai dasar hanya akan menawarkan kontrak tambahan bertempoh setahun untuk mana-mana pemain berusia 30 tahun ke atas.

Namun dalam hal David Luiz mereka memberi kelonggaran apabila bintang itu menandatangani kontrak dua tahun sebelum menyertai Arsenal.

Kini pendekatan sama dipersetujui pemilik kelab berkenaan Roman Abramovich selepas mendengar nasihat Lampard yang mahu mengekalkan Willian di Stamford Bridge.

Namun perkembangan terbaharu mendakwa pemain itu mahu kontrak tiga tahun untuk meneruskan karier bersama Chelsea.

Willian dikatakan tidak berminat untuk menyambung kontrak selama dua musim di Chelsea.

Ia sekaligus menambah spekulasi apabila pemain itu dikaitkan dengan Tottenham Hotspurs yang terlepas peluang mengikat khidmatnya pada tahun 2013.-MalaysiaGazette