Datuk Abdul Rashid Asari.

SHAH ALAM –  Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memilih untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) Selangor dianggap tidak memahami keadaan sebenar apa yang berlaku dalam semasa krisis politik baru-baru ini.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari percaya bukan sahaja empat ADUN itu bahkan sebahagian besar ahli parti juga tidak mendapat gambaran yang jelas terhadap apa yang telah berlaku melibatkan PH seterusnya mengakibatkan mereka meninggalkan gabungan itu.

Justeru itu,  beliau terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan kesemua empat ADUN itu untuk memberi penjelasan sebelum kesemua mereka membuat keputusan sama ada kekal dengan keputusan atau meninggalkan Bersatu.

“Saya percaya sebahagian besar ahli termasuk empat ADUN itu tidak faham keadaan dan saya bersedia berjumpa sekiranya selepas penerangan mereka terus dengan hasrat membantu PH atau keluar parti, itu terpulang mereka kerana itu hak mereka,” katanya ketika sidang media tergempar di pejabatnya hari ini.

Selepas Bersatu keluar daripada PH pada minggu lalu Selangor antara negeri yang terkesan daripadanya kerana Bersatu yang sebelum ini merupakan sebahagian kerajaan negeri dan kini menjadi pembangkang.

Namun empat ADUN Bersatu iaitu Sallehudin Amiruddin (Kuang); Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) menyatakan sokongan terhadap PH.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam mengumumkan akan melucutkan semua jawatan politik di semua peringkat termasuk anak kerajaan negeri itu yang disandang ahli Bersatu.

Pelucutan ujarnya akan dibuat secara berperingkat.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Empat ADUN Bersatu sokong PH Selangor