KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 terus meningkat di negara ini dengan 10 lagi kes baharu dicatatkan setakat jam 12 tengahari tadi.
Kesemua kes itu merupakan kontak rapat kepada kes ke-33.
Jumlah itu menjadikan kes positif Covid-19 kini sebanyak 93 kes.
“Empat kes iaitu kes ke-85, 86, 87 dan 93 merupakan generasi pertama kontak rapat kepada kes ke-33, manakala enam 6 kes baharu ini pula merupakan generasi kedua iaitu kontak rapat kepada kes ke-33 iaitu kes ke-84, 88, 89, 90, 91, dan 92,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Noor Hisham, kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.
Dalam pada itu, KKM memaklumkan hasil siasatan terkini terhadap kontak-kontak rapat kepada kes ke-26, mendapati satu kluster jangkitan Covid-19 berkait dengan kes ke-33.
“Sejumlah 132 kontak rapat telah dikenalpasti berkait dengan kes ini. Daripada jumlah tersebut, 18 kes telah disahkan positif, kini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
“Manakala, 38 kontak rapat adalah negatif dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari,” kata Noor Hisham lagi.
Daripada 93 kes itu, 75 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga orang masing-masing daripada Amerika Syarikat, Jepun serta Itali.
Sehingga kini, sebanyak 70 kes masih dirawat di beberapa buah hospital, manakala seramai 23 kes telah sembuh dan discaj dari hospital. -MalaysiaGazette