Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Semua pihak gembira apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) Yang didokong oleh DAP jatuh dan parti cauvinis itu dapat dinyahkan dari pentadbiran kerajaan selama 22 bulan.

Bagaimanapun, perubahan kerajaan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) itu menimbulkan konflik dan kontroversi apabila banyak pihak mengatakan ia kerajaan pintu belakang.

Malah tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, peringkat antarabangsa pula merendah-rendahkan kedudukan negara ini kerana seolah ada berlaku kudeta politik.

Ini kerana, mereka di peringkat antarabangsa itu beranggapan mandat PRU-14 adalah mandat rakyat untuk kerajaan PH tetapi belum cukup dua tahun sudah berlaku lompat melompat menyebabkan kerajaan itu jatuh.

“Ini yang menimbulkan konflik. Sebab itu, sebelum Yang di-Pertuan Agong merestui pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, Putra paling awal mengeluarkan kenyataan memohon budi bicara baginda supaya membubarkan Dewan Rakyat.

“Bagi Putra, ini adalah cara yang terbaik, tidak ada siapa dapat persoalkan lagi, iaitu dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat dan di peringkat antarabangsa pun imej negara tidak terjejas.

“Sekarang ini ada pihak mengatakan keadaan tidak stabil sebab kerajaan PN ini kerajaan bukan mandat PRU 14. Ini menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan politik dalam negara pula tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Putra Bahagian Setiawangsa dan Titiwangsa di Dewan Orang Ramai Kampung Paya di Kampung Bahru, di sini, hari ini.

Jelas Dr. Ibrahim, perubahan itu juga turut mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat sehingga ada yang turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi dan selepas ini mungkin ada lagi perhimpunan haram.

Katanya, beliau juga ada mendengar mungkin akan berlaku undi tidak percaya oleh pemimpin PH sehingga sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pada Mei ini.

“Ini menjadi buah mulut rakyat di Malaysia atau antarabangsa. Ini memberi suasana tidak baik kepada kestabilan politik negara.

“Maka jalan terbaik ialah Dewan Rakyat dibubarkan dan PRU !5 diadakan. Saya percaya rakyat akan buat keputusan baru. Jadi, pihak yang berjaya menumbangkan kerajaan secara lompat melompat ini tidak perlu bimbang dengan sokongan rakyat kalau ada PRU,” katanya.

Mengenai hasrat Putra untuk bertanding pada PRU 15, Dr. Ibrahim berkata, partinya akan bertanding setakat yang mampu, tapi di kawasan majoriti Melayu.

Katanya, mungkin akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara parti komponen PN iaitu sama ada Pas, UMNO atau PPBM lawan dengan komponen PH dari Amanah, atau PKR yang meletakkan calon Melayu.

“Kita nak orang Melayu, kaum Bumiputera ada pilihan parti mana yang mereka nak pilih, pemimpin mana yang mereka rasa boleh beri kepercayaan, dan perjuangan Melayu Islam ini juga bukan milik mana-mana parti, ia milik semua pihak asal mana kita ada semangat Melayu dan Islam.

“Maknanya, perjuangan Islam bukan milik Pas, perjuangan Melayu bukan milik UMNO, perjuangan Melayu Islam bukan milik Putra. Ianya milik semua pihak, cuma tinggal lagi siapa dapat mengemukakan pimpinan yang terbaik kerana  rakyat akan memilih yang terbaik.

“Kalau mana-mana parti ini menang sekali pun, kemenangan itu adalah calon Melayu, jadi, tidak timbullah disebabkan Putra bertanding maka Melayu berpecah belah kerana Melayu berpecah belah sebelum Putra ditubuhkan lagi,” katanya.

Beliau menjelaskan, Putra juga akan meletakkan calon di kawasan di mana pengundi Melayu 50 peratus seperti di Wangsamaju, tetapi PN dan PH tidak meletakkan calon Melayu bertanding.

Di kawasan itu katanya, Putra kemungkinan akan meletakkan calon Melayu bertanding.

Bagaimanapun, jika ada calon Melayu di kawasan berkenaan, Putra tidak masuk bertanding kerana hendak mengelak undi Melayu berpecah.

“Inilah strategi Putra yang dapat saya katakan, yang kita bincangkan dalam biro politik dan dalam Majlis Dewan Tertinggi (ADT) Putra. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast