KUALA LUMPUR – Setakat jam 12 tengah hari tadi terdapat enam kes baharu jangkitan Covid-19 telah dilaporkan.

Kesemua kes baharu yang dilaporkan pada hari ini terdiri daripada kontak- kontak rapat kluster kes ke-26.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan enam kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 99 kes.

99

Menurutnya, daripada jumlah ini, sebanyak dua kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

Tambah beliau, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan ini (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-99), hanya lima (5) kes sahaja yang dilaporkan dari kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Manakala kes-kes lain pula melibatkan kluster yang terdiri daripada kontak-kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Dr Noor Hisham menambah, kes ke-41 yang disahkan positif Covid-19) sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur.

Ini menjadikan 24 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini.

KKM juga telah menjalankan survelan Covid -19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah
perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

Sehingga 8 Mac 2020, sebanyak 567 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.
Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast