Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Semua pihak daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta berhenti mengeluarkan kenyataan atau menganjurkan majlis yang tidak membawa perdamaian kepada pucuk pimpinan parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin dan ahli parti itu tidak perlulah pergi ke media tempatan atau antarabangsa untuk meruntuhkan parti.

Sebaliknya, kata beliau, parti hendak selesaikan masalah secara dalaman dengan semangat satu keluarga.

”Dalam keadaan begini, menganjurkan majlis solat hajat dan munajat mendoakan penyatuan kembali pemimpin kita adalah lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, majoriti ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu pucuk pimpinan parti kembali bersatu.

”Marilah kita desak dan rayu pemimpin atasan kita untuk berdamai dan kembali bekerjasama. Parti kita terbina atas kekuatan tiga tokoh utama iaitu Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Dato Seri Utama Mukhriz,” ujar Wan Saiful.

Tambahnya, Muhyiddin telah memaklumkan bahawa beliau telah cuba mengatur pertemuan dengan Dr. Mahathir, malah telah menghantar surat kepada bekas Perdana Menteri itu untuk bertemu.

”Hanya menunggu tarikh dari Tun Mahathir sahaja. Kita doakan agar Tun Mahathir sudi bertemu secepat mungkin,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Elok lah mcm itu.. jangan keruhkan lagi keadaan… be gentlemen! Focus agenda negara!

Comments are closed.