Dr. Ibrahim (duduk, dua dari kanan) bersama barisan kepimpinan Putra Bahagian Pandan.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengambil sikap tunggu dan lihat perjalanan agenda kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) selepas berjaya menumbangkan Pakatan Harapan (PH) Pada 24 Februari lalu.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, setelah kerajaan PH gagal mengutamakan agenda Melayu, Islam dalam pentadbiran selama 22 bulan itu, kini perhatian rakyat tertumpu kepada PN.

“Selepas PH dan DAP dinyahkan dari tahta kerajaan Persekutuan, sekarang semua mata tertumpu kepada kerajaan PN, sejauhmana kerajaan yang majoriti Melayu, Islam ini menitikberatkan agenda kaum Melayu dan Bumiputera.

“Kita mahu tengok apakah agenda Melayu, Islam benar-benar dilaksanakan oleh PN selepas mereka memegang tampuk pemerintahan.

“Bagi saya tidak ada apa-apa lagi yang PN perlu berikan alasan mengenai agenda Melayu ini. Bagaimanapun, sama-sama kita tunggu sama ada ayam berkokok hari akan siang atau sebelum guruh berbunyi hujan sudah turun,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan parti Putra Bahagian Pandan di Dewan Pinang di Pandan.

Turut hadir, Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz; Ketua Bahagian Pandan, Borhan Zakaria dan Ketua Wirawati, Dr. Asmah Razalli.

Dr. Ibrahim turut mengulangi penubuhan parti itu bukan penyebab kepada perpecahan Melayu, sebaliknya lahir dari debu kekotoran politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Putra, katanya, lahir dari kesedaran rakyat yang cuak dan kecewa dengan kegagalan kepimpinan Melayu dari parti-parti Melayu, Islam sedia ada kerana gagal memartabatkan agenda bangsa bagi merealisasikan matlamat kemerdekaan negara.

Kata beliau, walaupun infrastruktur negara maju sejak kemerdekaan 62 tahun yang lalu, namun kaum Bumiputera terutama umat Melayu masih merempat di bumi sendiri.

“Kekayaan ekonomi negara dibolot oleh kaum minoriti, manakala Melayu Bumiputera masih hidup dalam kemiskinan dan tidak mampu memiliki, hatta rumah mampu milik sekali pun.

“Ini seolah menjadikan bumi sendiri yang dipijak orang dan Melayu Bumiputera pula tinggal dalam igauan seperti Mat Jenin yang menang sorak kampung tergadai.

“Lantaran itu, Putra lahir dengan pegangan ideologi nasionalisma Melayu Islam berpaksikan Kepimpinan Melalui Tauladan dan bersendikan ajaran Islam, bukan retorik cakap lain buat lain,” ujarnya.

Beliau berkata, kepimpinan munafik dan hipokrit akan dimurkai Allah dan dibenci oleh rakyat seperti yang berlaku kepada Barisan Nasional (BN) dan kemudian PH.

“Pembinaan kepimpinan Putra wajib berteraskan pengalaman dari kegagalan kepimpinan Melayu sebelum ini.

“Sudah tentu ianya mengambil masa kerana tidak mudah untuk mengisi semangat jati diri, sifat patriotisme yang jitu, kecekalan yang luar biasa dengan keilmuan teknologi terkini serta penuh iman di dada.

“Insya-Allah, ianya boleh direalisasikan jika kita pengasas Putra dan perintis gerakan pertama ahli parti ini benar-benar komited dengan idealisme perjuangan yang suci, bukan menjadi pengotor dalam sebuah perjuangan bangsa,” katanya.

Kata beliau lagi, perjuangan utama Putra ialah menjadikan agenda Bumiputera sebagai induk negara kepada semua dasar dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara serta hak keistimewaan Melayu.

Ia ujarnya, akan dirantaikan bersama sehingga terbina pembahagian kek ekonomi negara secara adil mengikut jumlah nisbah kaum Bumiputra yang menjadi kaum majoriti negara merdeka Malaysia.

“Jika tidak, apa makna kemerdekaan kalau pribumi merempat di bumi sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast