Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membuat laporan polis keatas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkaitan ucapan berbaur fitnah terhadap Yang Di-Pertuan Agong dalam satu ceramah politik di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 09 MAC 2020

SHAH ALAM – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad didakwa memfitnah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bersifat perkauman dalam isu lantikan Perdana Menteri ke-8.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, tindakan Khalid menyentuh jumlah ahli Parlimen yang menyokong calon Perdana Menteri mengikut pecahan kaum menunjukkan beliau cuba mengaitkan YDPA cenderung kepada orang Melayu.

“Khalid mengeluarkan satu kenyataan mempunyai maksud tersirat bahawa YDPA bersifat menyebelahi kaum Melayu dalam isu pemilihan Perdana Menteri baharu.

“Kesimpulan yang dibuat oleh Khalid jelas menunjukkan beliau berniat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap YDPA.

“Khalid menggambarkan YDPA bersifat menyokong kaum dan bukan atas dasar kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di luar Balai Polis Seksyen 6, hari ini.

Terdahulu Azhari membuat laporan polis terhadap Khalid merujuk kepada video berdurasi satu minit 17 saat dalam Majlis Temu Rakyat Aktivis Pakatan Harapan (PH) Shah Alam di Dewan Meranti, Seksyen 19, pada 5 Mac lalu.

Tindakan Ahli Parlimen Shah Alam itu seolah-olah mempertikaikan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 oleh YDPA pada 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, Azhari juga mendesak pihak polis bukan sahaja menyiasat Khalid bahkan memantau semua ucapan dalam mana-mana ceramah politik bagi mengekalkan ketenteraman awam.

“Kita mahu pihak polis sekat Khalid daripada terus berucap menghasut rakyat, kita bimbang akan menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.