Jururawat membersihkan kawasan menggunakan tisu basah ‘mikrozid’ bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 129 kes.

Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient Under-Investigation (PUI) jangkitan, kontak rapat dan Misi Bantuan
Kemanusiaan, kata Pejabat Perdana Menteri.

Seorang kes, iaitu kes ke-87 telah pulih dan keluar daripada hospital, sekali gus menjadikan seramai 25 orang telah pulih sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang bergejala dinasihatkan agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai.
Malah orang ramai diminta menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

Begitu juga, rakyat Malaysia adalah diingatkan untuk menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
• Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan.

• Sentiasa mengamalkan etika batuk yang baik, iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta;

• Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan negara-negara yang terjejas.

Orang ramai juga diminta maklumkan mengenai sejarah perjalanan dari negara yang terlibat kepada doktor yang merawat.

Pejabat Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada semua jentera dan anggota kerja Perkhidmatan Awam dan juga swasta yang terlibat secara langsung dan secara tidak langsung dalam menangani kejadian Covid-19 di Malaysia.

Rakyat Malaysia diminta untuk tidak menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak sahih mengenai penularan
Covid-19 kerana ia boleh menyebabkan kebimbangan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast