KUALA LUMPUR – Pas menzahirkan kesyukuran apabila terlerai teka teki pembentukan Menteri Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Secara umumnya, pelantikan dibuat begitu teliti dengan memberi peluang kepada golongan teknokrat dan profesional menerajui saf Jemaah Menteri, selain tokoh politik lain yang berpengalaman.
Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas pelantikan wakil dari parti itu menganggotai Kabinet kerajaan baharu yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ini katanya, membuktikan kesepakatan antara parti Perikatan Nasional (PN) untuk terus mentabdir negara ke arah lebih sejahtera.
“Ia juga merupakan hasil kebijaksanaan kepimpinan Pas yang diterajui Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang begitu berhati-hati dan berhemah merungkai kekusutan kemelut politik yang berlaku.
“Namun, jangan kita leka kerana pelantikan ini merupakan titik permulaan untuk bekerja demi rakyat,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata, dalam ucapan Perdana Menteri, jelas menggambarkan komitmen supaya kerajaan lebih fokus kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan mengambil kira aspek telus, integriti dan peduli rakyat.
“Jangan kita ulangi kesilapan kesilapan lalu kerana rakyat boleh menghukum bila-bila masa sahaja.
“Semoga urusan pentadbiran kita semua dipandu oleh wahyu Allah dan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya. – MalaysiaGazette