Senator, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad menurunkan tandatangan selepas mengangkat sumpah semasa Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kombinasi antara golongan politik dan profesional dalam pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya memenuhi kehendak rakyat.

Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, rakyat tidak mahu ahli politik sahaja yang mendominasi pentadbiran kerajaan seperti sebelum ini.

“Rakyat memerlukan penglibatan bukan hanya ahli politik secara sepenuhnya dalam kerajaan.

“Bagi memastikan negara ini terus dipacu ke depan, memperbaiki semula keadaan-keadaan yang tidak betul sebelum ini, golongan profesional diperlukan.

“Maka penglibatan golongan profesional saya kira formula agak baik untuk negara,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Masrizal bersama lima lain termasuk masuk menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah sebagai senator Dewan Negara, pagi tadi.

Kesemua enam individu itu merupakan muka-muka baharu yang mengisi Jemaah Menteri Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), semalam.

Ahmad Masrizal juga berkata, walaupun negara dipimpin oleh golongan profesional dan politik, namun pembangunan negara bergantung kepada komitmen rakyat.

“Polisi yang akan dibuat nanti bergantung kepada penglibatan dan komitmen rakyat

“Jika rakyat tidak membantu atau kurang memberi sokongan, maka barangkali ianya tidak boleh berjaya.

“Sebab itu dalam mana-mana kepimpinan mana sekalipun antara pemimpin dengan rakyat tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Masrizal berkata, Kementerian Alam Sekitar sebenarnya telah dipisahkan sejak dahulu untuk menjadi satu kementerian berasingan.

Katanya lagi, pengenalan semula Kementerian Alam Sekitar dalam Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat mahu menjadikan negara membangun secara lestari.

“Ini satu komitmen besar yang cuba ditunjukkan oleh kerajaan baharu dibentuk ini di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin.

“Pembangunan negara ini juga harus dipaksikan kepada pembangunan yang lestari, menekankan kepada alam sekitar dan seumpamanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast