KUALA LUMPUR – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan usaha baik yang pernah dilakukan oleh Syed Saddiq Abdul Rahman dalam pentadbiran baharu kerajaan hari ini.
Bagaimanapun beliau perlu membincangkan perkara itu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas memulakan tugas di pejabatnya, esok.
“Saya perlu beri sokongan kepada Menteri saya dan meneruskan kerja baik yang dilakukan bekas menteri lalu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Steven Sim. Itu antara keutamaan pertama saya.
“Polisi lalu perlu saya bincang dengan menteri dahulu, perkara pertama esok pagi apabila saya memulakan tugas di pejabat esok.
“Saya fikir banyak perkara baik yang boleh kita teruskan seperti Inisiatif Reben Kuning, Malaysia Future Leader School,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, pagi ini.
Terdahulu, beliau bersama empat Menteri dan Timbalan Menteri mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Speaker Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran di bangunan Parlimen, hari ini.
Antaranya Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak untuk mempertimbangkan meneruskan pelaksanaan E-Sukan yang diperkenalkan Syed Saddiq dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu.
“Pada masa ini saya tak boleh kata, bergantung kepada hala tuju Menteri, kita kena nasihatkan Menteri,” katanya.
Ketika ditanya soal umur menterinya yang bukan dalam kalangan anak muda, beliau menegaskan ia bukan satu halangan.
“Selagi beliau boleh menyampaikan aspirasi anak muda dan para atlet kita, saya percaya dia boleh bawa ke dalam Kabinet baharu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette