KUALA LUMPUR – Semua Ahli Jawatankuasa kepimpinan Pemuda Amanah Nasional berdiri kukuh dalam organisasi sayap parti itu dan tidak ada walau seorang pun akan mengikuti jejak bekas Ketuanya, Hasnul Zulkarnain.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin, bahkan semua Ketua Pemuda Amanah negeri telah mengeluarkan kenyataan mengutuk dan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab dan khianat itu.
“Sikap dan pendirian ini terbina kerana Amanah wujud di atas konsep “collective leadership” dan model inilah yang meletakkan parti ini di kedudukannya sekarang.
“Pemuda Amanah mengambil sikap untuk meneruskan gerak kerja pemuda di setiap peringkat.
“Maka, kami telah memutuskan untuk menetapkan satu tarikh untuk memilih Ketua Pemuda yang baru dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Hasnul Zulkarnain yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong keluar dari parti itu semalam, menyertai bebas.
Berikutan tindakan itu, pucuk pimpinan parti sebulat suara mengenakan tindakan memecat keahlian bekas anggota Exco kerajaan Perak berkuatkuasa serta merta, semalam. – MalaysiaGazette