Ahmad Faizal Azumu

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kol (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Ahmad Faizal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, telah menyembahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar kepada Sultan Nazrin semasa menghadap baginda di Istana Kinta di sini pagi ini.

Menurut Abd Rahim, dengan peletakan jawatan Ahmad Faizal itu, jawatan semua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) gugur berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) Perkara XVI, Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Pada majlis menghadap pagi ini, beliau berkata Ahmad Faizal turut menyembah maklumkan secara rasmi kepada Sultan Nazrin bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb lepas.

“Berikutan itu, Ahmad Faizal memaklumkan bahawa PH yang menubuhkan kerajaan negeri pada 12 Mei 2018 sekarang ini tidak lagi mempunyai majoriti mudah untuk meneruskan kerajaan yang dibentuk,” katanya.

Abd Rahim berkata Ahmad Faizal, yang juga Pengerusi Bersatu negeri, turut memaklumkan kepada Sultan Nazrin bahawa parti itu, UMNO dan PAS telah mencapai persepakatan untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu, dan pemimpin ketiga-tiga parti berkenaan telah dititah menghadap Sultan Perak.

“Ini bagi mengesahkan ADUN daripada tiga buah parti itu telah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu selain mempersembahkan nama-nama untuk pertimbangan jawatan Menteri Besar yang baharu dan berikrar memberikan sokongan kepada ADUN yang diperkenan,” katanya.

Abd Rahim berkata, Sultan Nazrin akan meneliti dan menimbang ADUN yang dicalonkan dan menggunakan kuasa baginda menurut perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Menurut perenggan itu, Sultan Perak akan melantik ADUN yang pada pertimbangan baginda boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ADUN sebagai Menteri Besar Perak ke-13, selanjutnya menetapkan tarikh mengangkat sumpah jawatan, kata Abd Rahim.

Semalam, Ahmad Faizal pada sidang media di sini mengumumkan Perikatan Nasional Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu berjaya mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Kata Ahmad Faizal, sokongan itu datang daripada 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, Bersatu (4) dan PAS (3).

— BERNAMA