KUALA LUMPUR – Sekiranya tidak dilakukan dengan tergesa-gesa, TH Plantation Bhd. boleh menjual ladang milik anak syarikatnya, THP-YT Plantation Sdn. Bhd. (THP-YT) pada harga yang lebih tinggi.

Jelas Maybank IB Research, penjualan ladang seluas 2,307 hektar itu dilakukan di bawah nilai pasaran.

“Nilai pasaran ladang tersebut adalah RM77.6 juta, lebih tinggi berbanding anggaran jualan pada harga enterpris (EV) RM72 juta.

“Jika THP tidak tergesa-gesa dalam penjualan itu, syarikat perladangan itu mampu mendapatkan harga yang lebih baik daripada RM31,209 bagi setiap hektar yang telah ditanam kelapa sawit,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun firma penyelidikan itu berpendapat, THP mengambil langkah positif untuk menjual ladang tersebut kerana ia dapat mengurangkan nisbah hutangnya dan dalam masa yang sama mengurangkan tanggungan kadar faedah berjumlah kira-kira RM3.8 juta setahun.

Katanya, syarikat tersebut mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM7.5 juta pada tahun kewangan 2019.

THP menjual keseluruhan kepentingan sebanyak 70 peratus dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd, yang memiliki 2,594.5 hektar tanah, kebanyakan (2,307 hektar) telah ditanam dengan kelapa sawit dengan profil usia antara dua hingga sembilan tahun pada harga RM62 juta kepada TDM Bhd.

Pada 3 Mac lalu, THP telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan TDM Bhd bagi melupuskan 70 peratus kepentingan saham dalam THP-YT dengan pertimbangan tunai RM7 juta.

Sebagai sebahagian daripada cadangan penjualan saham itu, THP berkata, anak syarikat milik penuhnya, THP Suria Mekar Sdn Bhd (THPSM), THP-YT dan TDM turut memeterai perjanjian penyelesaian, yang mana pihak terbabit bersetuju bahawa sebahagian pendahuluan antara syarikat berjumlah RM76.68 juta yang masih dihutang oleh THP-YT kepada THPSM, akan diselesaikan.

Yayasan Terengganu (YT) memiliki baki 30 peratus kepentingan dalam THP-YT.

“Selepas cadangan penjualan saham dimuktamadkan, THP-YT akan menjadi anak syarikat kami,” kata TH Plantations dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

THPSM adalah unit penjanaan dana Islam dengan aktiviti utama adalah melaksanakan penerbitan sukuk dan mengumpul dana kepada atau syarikat berkaitan TH Plantations dan kumpulan syarikatnya.- MalaysiaGazette

 

4 Komen

  1. Tahniah pengurusan TH kerana bertindak positif mengurangkan beban hutang. Beza harga yg sedikit tapi mampu mengurangkan resiko jangka panjang.

  2. Kalau setakat dilantik, dibayar gaji tinggi2 utk buat keputusan jual ladang baik suruh hang kebun je jaga THP.

Comments are closed.