Najib Razak

KUALA LUMPUR – Walaupun perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah ditangguh selama 4 bulan bagi memberi laluan kepada prosiding pembelaan SRC International Sdn Bhd, namun tertuduh, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap ‘sibuk’ saban hari di mahkamah.

Selain daripada kes perbicaraan SRC International yang membabitkan penyewelengan RM42 juta, Najib juga berhadapan dengan prosiding  pindaan laporan audit 1MDB .

Di sebalik pertuduhan yang dihadapinya, namun Ahli Parlimen Pekan itu sentiasa tampil dengan senyuman setiap kali  muncul di Mahkamah Tinggi Jalan Duta biar pun perbicaraan memakan masa sehari suntuk.

Semalam, pasukan bela bekas Perdana Menteri itu selesai dan menutup kes pembelaan setelah 33 hari membela diri dengan perbicaraan SRC International telah berlangsung selama 91 hari.

Hari ini, perbicaraan kes penyewelengan RM2.3 bilion dikaitkan dengan Najib akan bersambung jam 2.30 petang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Najib juga berhadapan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama dana 1MDB.

Perbicaraan 1MDB telah ditangguhkan pada 13 November tahun lalu tahun kerana kedua-dua peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan saksi pendakwaan ke-9, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sakit.

Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap Shahrol yang memberi keterangan masuk hari ke-22 dengan pasukan pembelaan telah melakukan pemeriksaan balas selama 15 hari.

Walaupun pada awalnya, prosiding sepatutnya bermula pagi tadi namun Pendakwa Raya Utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram perlu menghadirkan diri bagi kes lain di Istana Kehakiman, Putrajaya pagi tadi.

Prosiding dijangka akan bermula dalam masa satu jam lagi dengan nampak mana-mana kelibat pendakwa raya mahupun bela ketika ini termasuk Najib. –MalaysiaGazette