Ahmad Saruji Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Amanah Warisan Bhd (Awaris), institusi pemegang amanah patuh Syariah pertama di dunia, menyasarkan untuk menguruskan aset amanah mencecah RM5.5 bilion tahun ini merangkumi wasiat, hibah, harta sepencarian, pusaka dan harta amanah di Malaysia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, bagi mencapai sasaran itu Awaris yang berdaftar di bawah Akta Amanah 1949 itu akan menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi kewangan, koperasi, syarikat berkaitan kerajaan untuk meluaskan capaian pelanggannya.

“Setakat ini kami menguruskan aset amanah berjumlah RM750.5 juta membabitkan lebih 700 wasiat. Bermula tahun ini, kami akan memperhebatkan komitmen Awaris untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya di sini.

Ditubuhkan pada tahun 2018, dengan misi menjadi sebuah institusi amanah patuh Syariah pertama di dunia yang menyediakan perkhidmatan secara digital atas talian sepenuhnya.

Awaris kini giat menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan seperti pemegang amanah persendirian, pemegang amanah institusi, pelaksana pentadbir, penasihat tanah, hibah dan perjanjian harta sepencarian.

Awaris disertai oleh panel-panel Syariah dari pelbagai latar belakang, berfungsi untuk menasihat, memantau dan memeriksa setiap produk yang ditawarkan agar betul-betul menepati ciri Shariah yang ditawarkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Saruji berkata, portfolio wasiat akan menjadi penyumbang utama iaitu sasaran 5,000 fail membabitkan nilai aset RM5 bilion, berbanding RM716 juta ketika ini.

Katanya, pusaka pula dijangka melonjak kepada 200 fail membabitkan nilai RM100 juta, daripada satu kes dengan nilai RM5.1 juta pada masa ini.

“Setakat 2019, kami menguruskan tujuh fail hibah hartanah berjumlah RM14 juta dan harta sepencarian (14 fail) dengan nilai RM19 juta.

“Untuk tahun ini, kami meletakkan sasaran lebih tinggi kepada 20 fail bernilai RM40 juta untuk hibah hartanah dan 20 fail bernilai RM20 juta bagi harta sepencarian,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah yang akan dilaksanakan Awaris bagi memastikan lebih ramai menggunakan perkhidmatan pewarisan adalah menerusi kesedaran, yang mana syarikat ini akan mengadakan taklimat di masjid, sekolah, institusi pengajian tinggi dan organisasi, di samping meningkatkan kerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan perkhidmatan bersepadu.

“Masih ramai yang melihat bidang pewarisan ini tidak penting. Namun, semua perkara ini akan disedari kepentingannya selepas seseorang itu meninggal dunia, di mana akan wujud pelbagai konflik dalam soalan pengurusan harta si mati sehinggalah kepada pembahagian.

“Soal pembahagian harta menjadi sangat rumit jika tidak dirancang ketika masih hidup. Keadaan ini menyebabkan harta tidak dituntut di Malaysia mencecah nilai RM60 bilion ketika ini. Kita tidak mahu lagi masalah baru RM60 bilion dicipta jika tiada usaha dilakukan oleh rakyat Malaysia sekarang,” katanya.

Ahmad Saruji berkata, yuran wasiat yang dikenakan untuk seumur hidup adalah serendah RM500 termasuk pindaan percuma dan caj pentadbiran pusaka hanya dari dua peratus daripada jumlah keseluruhan nilai harta.

“Yuran yang kami kenakan adalah terendah di pasaran ketika ini dan yang lebih menarik adalah semua pindaan boleh dilakukan secara percuma pada bila-bila masa menerusi dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette