KUALA LUMPUR – Masih ingat lagi dengan nama Dr. Rozmey yang menjadi popular sekitar 10 tahun lalu?

Bermula dengan produk langsing keluarannya Jus Mate 5, beliau memberanikan diri menerbitkan filem Dua Alam lakonan Aaron Aziz yang turut menjadi sebutan ketika itu.

Demi merealisasikan impian filem itu, Dr. Rozmey yang kini bergelar Datuk telah berhabis sebanyak RM1.5 juta dan menyasarkan kutipan sebanyak RM40 juta dengan mengadakan promosi besar-besaran di akhbar termasuk produknya itu.

Hampir setiap hari pembaca boleh melihat iklan mengenai Dua Alam dan Jus Mate 5 itu.

Namun, impian Dr. Rozmey berkecai apabila filem sulungnya hanya mendapat RM440,000 kutipan selepas selesai tayangan.

Lama menyepi selepas itu, lelaki yang miliki nama sebenar, Dr Che Rozmey Che Din telah mengeluarkan baja organik DDR Bio Grow yang semakin menjadi pilihan petani khususnya petani tanaman padi sejak awal tahun ini.

Mana tidaknya, baja polimer yang diekstrak daripada kulit udang dan cengkerang ketam ini mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 80 peratus kepada 3.55 tan daripada 0.3 hektar (1 relung) semusim.

Berbanding sebelum ini, hasil padi kurang 1.8 tan semusim.

Baja organik Dr Rozmey mampu meningkatkan hasil tanaman.

Hasil diperolehi petani ini bersamaan dengan 12 tan untuk satu hektar seterusnya ia melepasi sasaran industri padi beras negara yang mana 10 tan untuk satu hektar sawah di Kedah dan Perlis.

Ternyata, keputusan beralih ke bidang pertanian membuahkan hasil apabila ia berjaya membantu mentransformasikan pengurusan padi di negara ini, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan pendapatan pesawah.

Mengulas mengenai kelebihan baja organik itu, Dr Rozmey berkata, baja ini kaya dengan NPK (unsur utama) dan trace element (unsur surih) yang membantu membentuk pertumbuhan akar dan penyerapan nutrien dalam tanah, kaya dengan PGR (plant growth regulator), penggalak dan pembesaran tumbuhan dan memperbaiki hasil tanaman serta meningkatkan hasil tanaman daripada 30 peratus hingga 100 peratus.

“Selain itu, baja ini turut mengandungi hasil lautan iaitu kitosan dan rumpai laut sebagai pendorong pembesaran dengan meningkatkan pemecahan sel-sel tumbuhan bagi merangsang pertumbuhan dan pembesaran lebih baik selain mempercepatkan peningkatan proses fotosintesis.

“Pertahanan dan sistem imunisasi tumbuhan dengan memperbaiki keupayaan daya pertahanan terhadap jangkitan kuman dan serangan serangga serta penggalak tumbuhan dan perkembangan hasil buah dengan peningkatan keupayaan serapan unsur nutrien dalam tanaman.

“Selain itu, ia juga merawat serangan penyakit bermula daripada akar, batang hingga hasil. Ia juga mengurangkan kos baja dan rawatan pokok serta meningkatkan pendapatan petani,” katanya yang masih mengusahakan bisnes itu di Jitra, Kedah.

Beliau berkata, menerusi kajian dijalankan mendapati kuasa bio mampu membantu menjadikan tanah subur dan gembur serta kaya dengan organik dan bakteria yang baik.

“Ia memberikan pulangan hasil tanaman tinggi, perkembangan buah dan tanaman memuaskan, menggalakkan akar lebat, serapan air dan baja yang efektif, tanaman sihat dan hijau serta pembesaran tanaman cepat,” katanya.

Dr Rozmey mengambil masa dua tahun untuk memgeluarkan baja organik sendiri.

Selain tanaman padi, Dr Rozmey berkata, baja DDR Bio Grow juga sesuai untuk semua jenis tanaman pertanian.

Katanya, pengunaan baja DDR terbukti dapat menjimatkan kos baja bersepadu sebanyak 40 peratus dan petani kini bebas daripada penggunaan racun kimia dan bebas dari serangan pelbagai penyakit tanaman.

“Ia juga termasuk penjimatan wang daripada penggunaan racun kimia dan penjimatan baja kimia.

“Satu relung (0.3 hektar) untuk empat kali semburan, 400 ml untuk rawatan tanah, 200 ml untuk 15 hari selepas tabur benih, 400 ml untuk 35 hari dan 80 hari, kos bagi satu musim tanaman padi hanya RM64 dengan keajaiban hasil padi meningkat, kos baja jimat dan bebas dari pengunaan racun kimia dan ancaman makhluk perosak tanaman,” katanya.

Mengimbas detik awal menceburi bidang pertanian, beliau berkata, idea menghasilkan produk baja tercetus ketika melihat sektor pertanian berdepan masalah kurang hasil dan serangan makhluk perosak berulang.

Melihat kepada permasalahan itu, Dr Rozmey bekerjasama dengan rakannya, seorang pakar kimia dalam polimer bagi menghasilkan baja yang dapat membantu petani meningkatkan hasil pertanian.

“Kami ambil masa hampir dua tahun untuk proses pemba­­ngunan dan penyelidikan bagi penghasilan baja ini,” katanya.

Kamal Yatim

Sementara itu, bagi pengguna DDR Bio Grow, Kamal Yatim, 54, penangan baja DDR mengubah lanskap pertanian yang diusahakan beliau lebih 40 tahun apabila hasil padi pada kali ini meningkat lebih sekali ganda dari sebelumnya.

“Semenjak saya pakai DDR hasil memang meningkat. Berbanding baja yang pernah saya cuba sebelum ini, hasil kurang dari 1.4 tan tetapi dengan baja DDR, hasil terus meningkat 2.63 tan untuk 0.75 relung atau 0.218 hektar,” katanya.

“DDR Bio Grow didatangkan dalam saiz 1 liter (RM65) dan 4 liter pada harga RM199. Maklumat lanjut, layari ddrbiogrow.com atau hubungi 012-2627125. – MalaysiaGazette