Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Kerajaan sentiasa serius untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kawalan di sempadan di seluruh negara ini bagi menangani ancaman pencerobohan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pendekatan itu akan diambil dengan memperkasakan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Beliau turut mengakui wujudnya lokasi yang disifatkan lemah bukan sahaja melibatkan sempadan negara jiran namun termasuk laluan laut.

“Kita memerlukan strategi yang meliputi jentera dan aset-aset udara bagi menangani isu ini secara serius.

“Kalau tidak, timbul masalah pendatang asing dan kita tidak tahu pintu sempadan utama mana yang longgar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di kementeriannya di sini hari ini.

Sebelum itu dalam ucapannya, Hamzah berkata, di bawah bidang kuasa KDN, pihaknya akan melihat secara holistik merangkumi keperluan sumber manusia, pengurusan kewangan dan aset serta hubungan strategik, koordinasi dalam memelihara dan menguruskan sempadan negara.

Dalam hal itu jelas beliau, aset-aset di sempadan seperti pagar atau tembok sempadan dan kamera litar tertutup (CCTV) serta pendekatan berasaskan teknologi seperti dron akan dipertingkatkan untuk mengawal sempadan darat.

“Bagi kawalan sempadan maritim,  Offshore Patrol Vessel (OPV) dan kapal peronda serta bot pemintas 12 meter akan juga ditambah.

“Selain itu, antara strategi yang difokuskan untuk menambahbaik pengurusan kawalan ialah penubuhan agensi tunggal yang akan mengawal dan menangani isu-isu di sempadan bagi meningkatkan keberkesanan arahan.

“Usaha-usaha ini sangat penting untuk meningkatkan rasa selamat dan memberi keselesaan kepada rakyat serta secara tidak langsung akan memberi imej yang positif kepada agensi-agensi keselamatan khususnya KDN,” katanya. – MalaysiaGazette