Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diiringi Datuk Kamaruddin Jaffar (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dalam sidang media di Wisma Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2020

PUTRAJAYA – Wisma Putra hari ini mengesahkan terdapat 11 rakyat Malaysia di luar negara yang didapati positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu sidang media di pejabatnya, hari ini.

“Setakat ini, Wisma Putra telah mengenal pasti seramai 11 orang rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti COVID-19.

“Jumlah yang dijangkiti ini melibatkan seramai 9  orang rakyat Malaysia di Singapura (2 telah dibenar keluar, 7 lagi masih dirawat di Singapura) dan 2 orang rakyat Malaysia di Jepun (kedua-dua telah pulang ke Malaysia),” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sejumlah 54,430 rakyat negara ini berada di sepuluh negara yang paling teruk terjejas ekoran Covid-19.

Daripada jumlah itu, 14,929 rakyat Malaysia berada di China; 4,297 di Korea Selatan; 380 di Itali; 67 di Iran, 6,019 di Jepun; 2,401 di Perancis; 2,218 di Jerman; 150 di Sepanyol; 790 di Switzerland; dan paling ramai di Amerika Syarikat iaitu 23,179 orang.

Ia tidak termasuk 841 penjawat awam dan keluarga masing-masing yang turut menetap di 10 negara berkenaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin telah mengarahkan timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaafar supaya mengetuai satu pasukan khas untuk memantau perkembangan terkini rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

“Pasukan khas ini penting dan Wisma Putra bersetuju untuk memperhebatkan lagi jabatan yang akan dipimpin oleh timbalan saya,” katanya.

Hishammuddin turut berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang ini.

Ia bagi memaklumkan langkah seterusnya dalam koordinasi untuk menangani penularan Covid-19.

“Apa yang saya maklumkan dan bincangkan, akan dibentangkan pada PM hari ni, supaya dalam kita nak menangani virus corona ini, kita perlu pastikan koordinasi.

“Ia melibatkan koordinasi di antara menteri dan kementerian-kementerian terlibat. Keduanya, koordinasi untuk cari jalan terbaik di kalangan negara-negara di luar sana.

“Ini saya sudah mula dengan panggilan menteri luar negara-negara berkenaan, dan kalau dapat koordinasi dengan Wisma Putra, kalau boleh kongsi langkah terbaik saya rasa kita akan ada peluang terbaik melawan virus ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette