ASUNCION: Badan induk bola sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengambil tindakan drastik menangguhkan pusingan berikutnya dalam jadual Copa Libertadores kerana pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Cont, meluluskan cadangan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali (CONI) untuk menangguhkan kesemua acara sukan sehingga 3 April ini selepas mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara itu berikutan penularan wabak itu yang turut membabitkan liga bola sepak mereka, Serie A.

“CONMEBOL mengambil keputusan menggantung perlawanan Copa Libertadores pada minggu 15-21 Mac ini kerana komited untuk menghalang penularan COVID-19 dan menjaga keselamatan delegasi, pengadil, pegawai, akhbar dan penyokong,” kata kenyataan badan induk itu.

Copa Libertadores merupakan kejohanan di Amerika Selatan yang sama dengan Liga Juara-Juara Eropah.

Namun edisi 2020 hanya akan bermula pada Januari dan masih berlangsung pada saingan kumpulan.

Sebelum itu, FIFA menerima permintaan CONMEBOL untuk menangguhkan dua pusingan kelayakan Amerika Selatan bagi Piala Dunia Qatar 2022.

Negara Amerika Latin kini mengambil langkah untuk mengekang penularan Covid-19..

Beberapa negara mula mengumumkan pengasingan ke atas pelancong daripada negara yang teruk dilanda manakala yang lain menutup sekolah dan mengharamkan aktiviti perayaan. – MalaysiaGazette