KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia telah menutup Masjid Seri Petaling kepada orang ramai.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelajar dan jemaah tabligh yang sedia ada di dalam masjid diletakkan di bawah perintah pemantauan di rumah (home surveillance).

“Disinfeksi juga telah dilaksanakan,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Pada Rabu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh  di masjid tersebut yang mengalami gejala Covid-19 diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di negeri masing-masing.

Ini kerana International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei telah memaklumkan IHR FP Malaysia mengenai kes yang disahkan COVID19 dikesan di negara itu mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh tersebut.

Menurut Noor Hisham, peringkat awal saringan dan penjejakan kontak turut dilakukan di kawasan masjid itu. – MalaysiaGazette