Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Semua jenis perhimpunan, program acara belia dan sukan yang dianjurkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun agensi-agensi di bawah seliaannya ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April 2020.

Arahan ini selaras dengan keputusan dan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas dan
juga keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Covid-19 pada petang semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

”Keputusan dan peringatan pematuhan ini diambil atas sebab keutamaan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan khususnya para belia dan atlet-atlet sukan yang terlibat di pelbagai peringkat bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 yang semakin menular.

”KBS juga mengambil maklum langkah-langkah proaktif yang telah diambil sebelum ini oleh beberapa badan sukan dan belia yang telah menangguhkan/ membatalkan program dan juga yang telah mengambil inisiatif larangan penonton di lokasi kejohanan masing-masing mengikut kesesuaian setelah mengambilkira nasihat daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette