M. Saravanan.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menasihatkan pihak majikan termasuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) agar mengambil beberapa tindakan yang mengutamakan kebajikan pekerja ketika krisis pandemik Covid-19 di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan berkata, pihaknya dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan MAB pada 11 Mac lalu telah dimaklumkan mengenai beberapa tindakan awal telah diambil oleh pihak MAB sejak berlakunya penularan Covid-19.

Di antaranya, kata beliau,  telah dimaklumkan bahawa ada sesi penerangan kepada semua pekerja oleh ketua pegawai eksekutif syarikat melalui sistem eVoice dan sesi libat urus pada 10 Mac lalu.

“Bagaimanapun, pihak MAB memaklumkan bahawa proses lantikan baru dan kenaikan pangkat akan dibekukan dan para pekerja juga digalakkan untuk mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela untuk tempoh tiga bulan ataupun cuti tidak berbayar sebanyak lima hari sebulan bagi tempoh tiga bulan.

“Permohonan cuti sukarela tersebut perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Jabatan (HOD) di MAB yang mana pihak MAB menegaskan bahawa buat masa ini tiada keperluan bagi pihak MAB melakukan pembuangan pekerja.

“Tindakan pembuangan pekerja adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh MAB,” katanya lagi.

Tambah Saravanan, kementeriannya telah menasihatkan pihak majikan agar mengambil beberapa tindakan seperti mematuhi peruntukan undang-undang Perburuhan, Perjanjian Kolektif sekiranya ada, dan Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan (COC).

Menurutnya, MAB juga dinasihati supaya meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan wabak berkenaan.

“KSM akan sentiasa memantau dan menasihatkan mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan daripada penularan virus Covid-19 yang melibatkan kebajikan pekerja.

“Ini bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan akan kekal sihat dan kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette