KUALA LUMPUR – MukaRakat yang merupakan kumpulan hip hop kini menjadi bualan ramai dalam kalangan penggemar muzik di tanah kelahiran mereka, Indonesia.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2017 dianggotai Lipooz, DirtyRazkal, D’Flow, I’m Rapholic dan DJ GeraMar.

Menggabungkan budaya dan tradisi Indonesia ke dalam muzik dan visual mereka, MukaRakat mahu meneruskan impian meletak nama negara mereka di mata dunia.

Dalam masa dua tahun, MukaRakat telah tampil dengan sembilan single yang menjadi hak cipta mereka sepenuhnya.

Pada akhir tahun 2019, MukaRakat secara rasmi bergabung dengan Def Jam Records SEA di bawah naungan Universal Music Indonesia dan beberapa single MukaRakat dapat diakses melalui saluran Youtube 16 Bar Indonesia.

Menyorot latar mereka berlima, semuanya berasal dari Pulau Flores yang terletak di Wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Kemudiannya mereka merantau ke Bali, ada yang menyambung pengajian di universiti di sana dan ada yang mencuba nasib mencari pekerjaan.

Kelima-limanya bertemu dan bersatu di Pulau Dewata itu atas minat yang sama iaitu muzik.

Jiwa muda yang gemar meneroka benda baru, minat mereka terarah kepada muzik hip hop yang ternyata belum begitu menjadi pilihan utama di kalangan peminat muzik tegar di negara mereka.

Menurut I’m Rapholic, mereka ‘berjalan’ saja mengikut arus seperti air yang mengalir kerana mereka percaya kalau muzik itu bagus, ia tetap bagus.

“Sumber ilham kami adalah Tuhan Yang Maha Kuasa dan semua kumpulan hip hop yang ada di Indonesia menjadi rujukan kami. ‘Komuniti’ hip hop di Indonesia semakin bercambah dan kami bersatu serta sering mengadakan persembahan indie,” katanya ketika di temui di Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Pada akhir tahun 2019, MukaRakat secara rasmi bergabung dengan Def Jam Records SEA di bawah naungan Universal Music Indonesia.

Mengagumi hip hop mendapat sambutan hangat di Malaysia, Mukarakat amat gembira dan berbangga dapat bertemu dengan peminat genre muzik itu di negara ini.

“Di Indonesia, dangdut dan rock saling berganding manakala hip hop sedang merintis jalan untuk berada seiringan dengan kedua-duanya.

“MukaRakat mempertaruhkan lagu etnik dan sehingga kini, sambutannya baik-baik saja. Semua pemuzik di sana saling menghormati dan menyokong,” katanya.

Namun begitu, jelas I’m Rapholic, kumpulan mereka jarang mendapat undangan di televisyen.

“Kumpulan hip hop di Malaysia sangat bertuah kerana kehadiran mereka dalam industri muzik di sini sangat diraikan dan mendapat pendedahan meluas.

“Populariti kami di sana banyak dibantu oleh media sosial seperti Youtube. Followers kami sekarang sudah lebih 50,000 orang,” katanya.

Jadi kata I’m Rapholic, mereka sangat tertarik untuk ke datang Malaysia dan dapat berada di negara ini dianggap satu pencapaian yang membanggakan.

Bercakap mengenai persahabatan mereka, katanya mereka tidak pernah gaduh dan saling menyayangi.

”Dulunya kami ada sembilan orang, selepas ditapis, tinggallah kami berempat yang benar-benar serasi dan kemudiannya disertai DJ GeraMar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast