Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan yang diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan dalam pakej rangsangan yang lalu mesti ditambah daripada RM150 juta yang telah diumumkan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana fungsi utama pakej itu adalah untuk menyegerakan program berimpak tinggi yang bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan sebagai langkah berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ia perlu ditambah bagi melengkapkan kelengkapan kesihatan dan prasarana untuk hospital dan klinik-klinik kerajaan

Ia juga bagi menampung kos penyediaan topeng muka dan cecair pembasmi untuk rakyat, meningkatkan pemerolehan kit ujian dan ubat-ubatan.

“Ingin saya jelaskan bahawa ini adalah tanggungjawab kerajaan, dan kerajaan haruslah memastikan ia tidak dibebankan pada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, kegawatan ekonomi kini semakin menampakkan tanda-tandanya dan amat penting untuk memberikan keutamaan dalam membantu mereka yang akan terkesan dengan kegawatan ini seperti mereka yang miskin dan yang melarat.

“Pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan Menteri Kewangan yang lalu Lim Guan Eng telah diumumkan sebelum gelombang kedua Covid-19. Maka inisiatif ini mesti dipanjangkan bagi mendukung Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam mendepani krisis ini.

“Bukti menunjukkan langkah yang paling efektif dalam memperteguh kebajikan warga dalam krisis ekonomi seperti ini adalah melalui pembayaran tunai secara langsung,” ujarnya.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan juga harus meningkatkan jumlah bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk bulan Mei 2020 dan mempertimbangkan bayaran tambahan one-off (sekali bayar) untuk mereka yang layak.

“Saya juga ingin menggesa insurans pekerja disediakan untuk para pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang teruk yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Anwar juga mencadangkan pengukuhan tindakan ekonomi termasuk pengecualian SST untuk semua sektor sehingga Jun 2020, dan kepada sektor yang terkesan secara langsung untuk sepanjang tahun ini; insentif/geran untuk penggunaan e-perdagangan dan khidmat penghantaran kepada semua perniagaan kecil dan sederhana dan perkhidmatan makanan dan minuman; bantuan tunai untuk IKS yang dihimpit gangguan rantaian bekalan; dan penahanan pinjaman oleh bank kepada keluarga yang berpendapatan rendah yang berdepan dengan masalah kelewatan pembayaran pinjaman.

“Kesemua petanda ini mirip kepada Krisis Kewangan Asia 1997 di mana saya memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan mengemudi negara mendepani krisis tersebut. Keputusan yang tegas dan sukar mesti dibuat segera oleh kerajaan hari ini.

“Saya menggesa Perdana Menteri untuk menangguhkan segala gerak politik PPBM dan gabungannya bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada krisis yang kini sedang menjejaskan warga,” katanya.- MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Tak payahlah nak masuk campur urusan kerajaan sekarang. Kami rakyat semua dah ada PM baru yg.lebih up too late pada rakyat dan ekonomi negara,bukan berebut jawatan.
    PM tahu apa yg.terbaik untuk rakyat. Semuga Malaysia di lindungi Allah swt.dari segala malapetaka dunia akhir zaman. Amin.

Comments are closed.