Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh wilayah termasuk Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat bakal berdepan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, ini kerana Loji Rawatan Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1) , Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran bau.

Kata Abdul Halem dalam kenyataan sebentar tadi, bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor malah sehingga jam 8 malam tadi bacaan pencemaran masih tahap dua ton.

“Pihak Air Selangor telah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa sama, Air Selangor akan terus salur maklumat kawasan-Kawasan ganguan bekalan kepada para pengguna dari masa ke semasa melalui laman sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang rasmi kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengamatan MalaysiaGazette mendapati LUAS juga telah memaklumkan tentang insiden yang sama dalam Facebook mereka sebentar tadi.

“LUAS, AIR Selangor dan pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera,” tulisnya. -MalaysiaGazette