Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sebanyak 117 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini dan 80 kes daripada jumlah tersebut berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Statistik terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 790 kes, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurut beliau, terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan  discaj  pada hari ini  menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes.

Katanya, sehingga kini, seramai 15 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Adham berkata,  semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia telah diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan dengan itu  juga, katanya, Peraturan-Peraturan  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah digubal dan diwartakan pada hari ini.

“Peraturan ini menjelaskan perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh  orang awam berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini.

Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 ATAU dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 7 (1)  di bawah Peraturan-Peraturan yang sama.

Peraturan-peraturan ini boleh  diperolehi  dari  laman  sesawang KKM. Sebarang pertanyaan mengenainya boleh dikemukakan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM, sama ada melalui talian 03-8881 0200, 03-8881  0600,  03-  88810700 atau e-mel: [email protected].

Beliau turut memaklumkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pengerakan, TIADA pelawat dibenarkan masuk ke dalam wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat  memerlukan.

Dalam tempoh ini juga, jika diperlukan, HANYA SEORANG (1) peneman sahaja dibenarkan semasa temujanji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau  kes kecemasan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser).

Orang awam juga perlu mengamalkan etika batuk (cough etiquette) yang baik di rumah mahupun di luar iaitu  menutup  mulut  dan  hidung dengan tisu atau pelapik apabila batuk mahu pun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta.

Sekiranya tidak sihat, hubungi virtual health advisory atau talian CPRC yang beroperasi dari pukul 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Orang awam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

NEGERI JUMLAH KESELURUHAN KES
PERLIS 8
KEDAH 36
PULAU PINANG 30
PERAK 28
SELANGOR 192
NEGERI SEMBILAN 45
MELAKA 18
JOHOR 88
PAHANG 29
TERENGGANU 10
KELANTAN 30
SABAH 103
SARAWAK 49
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA  

119

WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN 5
JUMLAH KESELURUHAN 790

 

— MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Kerajaan negeri yang sikit positif convid kena bendung supaya tidak menular, buat pemeriksaan di pintu-pintu sempadan antara negeri, kalau haiwan ternakan boleh di halang kemasukan, tak akan manusia tidak boleh dibuat begitu. Kalau orang dah degil macam binatang kena layan macam binatang juga lah.

Comments are closed.