Pegawai polis menasihati sekumpulan pemuda supaha bersurai susulan hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar Bandar Sunway, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 18 MAC 2020

PETALING JAYA – Sebuah premis cuci kereta dan sebuah rumah ibadat Hindu di Shah Alam telah dikenalpasti beroperasi hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan hari ini.

Polis Selangor telah mendapati premis cuci kereta di Seksyen 7 Shah Alam beroperasi seperti biasa manakala di Kuil Sri Maha Mariamman pula jawatankuasa kuil mengadakan mesyuarat.

Untuk hari pertama Ops Covid-19 yang dimulakan hari ini, polis Selangor mengambil pendekatan memberi nasihat bagi menyedarkan masyarakat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelak penularan virus Covid-19.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, seramai 27 pegawai dan 81 anggota terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 6 petang.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya bersikap matang dan mengambil serius Perintah Kawalan Pergerakan dengan mematuhi arahan supaya duduk di rumah.

“Polis bukan nak buat operasi ini suka-suka tapi mahu memberi kesedaran supaya masyarakat perlu hormati undang undang demi keselamatan negara dan rakyat memerangi Covid-19.

“Dalam operasi malam tadi, kedua dua premis itu masih berdegil meneruskan aktiviti mereka sehingga malam tadi.

“Kedua dua premis cuci kereta dan kuil diarahkan anggota polis supaya bersurai dan menutup segera segala aktiviti serta premis itu juga,” katanya kepada pemberita di Shah Alam malam tadi.

Anggota polis memeriksa lesen kenderaan ketika membuat sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdanan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Khoo Kai Kim, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 MAC 2020

Dalam Ops Covid itu juga, katanya, polis telah melaksanakan sekatan jalan raya di Jalan Semangat Seksyen 14 Petaling Jaya memberi nasihat kepada individu yang masih berdegil.

“Kita berharap mereka memahami situasi dan juga seriusnya mematuhi perintah larangan itu bagi memerangi pandemik Covid dengan mengehadkan pergerakan mereka dan duduk di rumah demi manfaat semua.

“Ada juga naik kereta beramai ramai semasa sekatan jalan raya tapi mereka dinasihatkan tidak mengulangi perbuatan itu demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.

Ops Covid itu turut mengesan sebuah Markas Pas di Seksyen 24, Shah Alam yang memperlihatkan pergerakan beberapa individu sebelum mereka dinasihatkan supaya bersurai. – MalaysiaGazette