Ramai rakyat Malaysia terkandas di India.

NEW DELHI – Ramai rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negeri di India, kini dilaporkan berada di New Delhi dan sedang menunggu untuk dihantar pulang.

Zulkhis Abdul Jalil,52, dimaklumkan penerbangan khas akan berlepas dari New Delhi ke Kuala Lumpur pada Rabu malam, sebelum ini usahanya untuk keluar dari India gagal menyebabkan beliau terkandas di Bangalore.

“Saya mahu keluar secepat mungkin jadi saya tempah tiket dengan IndiGo airline, malangnya penerbangan ke Kuala Lumpur dibatalkan. Saya kembali semula ke New Delhi dan meminta bantuan pejabat Suruhanjaya Tinggi,” kata Zulkhis kepada Bernama.

Beliau dan ramai lagi rakyat Malaysia yang terkandas di New Delhi, Jaipur dan Amritsar sangat bernasib baik apabila Suruhanjaya Tinggi telah mendaftarkan mereka di bawah penerbangan khas AirAsia.

Jaspreet Kaur dan ibu mertuanya Amarjet Kaur yang tersadai di Punjab, bergegas ke New Delhi apabila dimaklumkan keadaan akan menjadi bertambah buruk.

“Penerbangan AirAsia yang dijadualkan kami dibatalkan pada Selasa malam, kami bernasib baik kerana dapat sampai ke New Delhi dan akan dibantu pihak Suruhanjaya Tinggi untuk pulang ke Malaysia,” kata Jaspreet.

Penerbangan antara India dan Malaysia dibatalkan sejak Selasa petang berikutan arahan terbaru yang dikeluarkan kerajaan India.

Chinniah P. Arumugam, 65, bersama kumpulan 19 pelancong Malaysia terkandas selepas penerbangan yang ditempah dengan Malindo Air dan Malaysia Airlines (MAS) kedua-duanya dibatalkan.

“Asalnya kami merancang untuk balik pada 21 Mac, memandangkan keadaan bertambah buruk, kami memutuskan pulang ke Malaysia,” kata Chinniah sambil menarik nafas lega apabila penerbangkan mereka telah disahkan.

Pada Rabu 230 rakyat Malaysia berjaya menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia namun, masih ramai tidak dapat ke New Delhi untuk menaiki penerbangan khas itu. Penerbangan khas akan berlepas bersama 111 penumpang kira-kira pukul 11 malam.

AirAsia sebelum ini membawa 405 penumpang warga India dari Kuala Lumpur ke Visakhapatnam dan New Delhi pada Rabu, kemudian membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.

Pesuruhjaya Tinggi Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata rakyat Malaysia yang masih berada di India boleh pulang melalui laluan lain, termasuk Singapura.

“Tiada siapa dapat meramalkan situasi seperti ini, kami akan cuba membantu sedaya upaya berdasarkan garis panduan ditetapkan kerajaan Malaysia,” kata Hidayat.

Justeru, rakyat Malaysia di India diminta mendaftarkan diri dengan misi diplomatik di New Delhi, Chennai dan Mumbai.

Ratusan rakyat Malaysia termasuk penuntut atau pelancong telah berdaftar, dengan paling ramai di konsulat di Chennai.

Masih terdapat kira-kira 150 rakyat Malaysia terkandas di daerah Tiruchirappalli di Tamil Nadu dan lebih 50 orang ingin meninggalkan Chennai.

— BERNAMA