Permandangan udara menunjukkan keadaan Jalan Tunku Abdul Rahman yang lengang semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan berikutan jangkitan wabak Covid-19 koronavirus di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan sebanyak 362 notis pemberitahuan kepada premis perniagaan dan penjajaan yang masih beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dua hari lalu.

Pada masa yang sama dua teguran lisan juga telah diberi kepada tapak binaan yang masih beroperasi.

Menurut kenyataan Kementerian Wiolayah Persekutuan, badan tersebut juga telah menerima sebanyak 904 panggilan telefon daripada orang awm bermula 18 Mac 2020 sehingga 19 Mac 2020 berkaitan pelbagai pertanyaan seperti penutupan premis perniagaan, penjajaan, bayaran cukai taksiran, isu-isu perumahan dan sebagainya.

Namun tiada aduan berkaitan dengan penyakit Covid-19, katanya.

“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa bermula 18 hingga 31 Mac 2020, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulakan Ops Pantau PKP C-19 bermula 17 Mac 2020 bertujuan membantu pemantauan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Kuala Lumpur.

“Ia juga bagi menyelaraskan tugas-tugas di bawah tanggungjawab Datuk Bandar Kuala Lumpur yang melibatkan keperluan mendesak dan kecemasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

DBKL juga akan menyelaraskan bantuan kepada agensi-agensi kerajaan yang lain apabila diperlukan.

Bagi memudahkan urusan, ia telah membuka dua bilik gerakan di:

  1. Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur

Talian Hotline: 03-40244424 / Talian Am: 03-40267222 /

Faks: 03-40218260 / Whatsapp: 019-2120031

2. Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dewan PPR Seri Alam, Jalan Lapangan Terbang Lama 57100 Kuala Lumpur

Talian Am: 03-9226112 / 1312/ 3113.

Bilik-bilik Gerakan ini diketuai oleh Pengarah Jabatan berkaitan dengan 2000 orang petugas yang ditugaskan secara giliran, katanya lagi. – MalaysiaGazette