kematian kedua-dua remaja itu menyebabkan pakar-pakar mengeluarkan amaran mengenai pemakaian penutup hidung dan mulut bergred tinggi ketika melakukan aktiviti fizikal berat.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Harga siling penutup muka dan hidung dinaikkan kepada RM2 sekeping berbanding 80 sen sekeping berkuatkuasa dua hari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ini selaras dengan kebenaran kerajaan untuk membenarkan pengimportan topeng muka bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan.

“Kementerian sudah putuskan supaya import penutup muka dan hidung dibenarkan kerana kita sudah luluskan harga dinaikkan kepada RM2.

“Ini bagi menggalakkan pengimport mengimport penutup muka dan hidung kerana harga barang tersebut juga telah naik di pasaran dunia akibat peningkatan harga bahan mentah.

“Ini merupakan salah satu cara untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan penutup muka dan hidung di pasaran, ” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta 12 pemain industri makanan dan peruncitan di sini.

Tambah Alexander, isu kekurangan penutup muka dan hidung ini akan segera selesai sebaik sahaja para pengimport mula menerima pesanan masing-masing.

“Kami sudah kuatkuasakan kelulusan dan kenaikan harga sejak dua hari lepas.

“Jika mereka membuat pesanan untuk penghantaran udara, lebih cepat bekalan sampai.

“Jika penghantaran melalui kapal, lama sedikit masa yang diambil
“Apa pun, isu ini akan selesai segera apabila bekalan mula tiba,” katanya lagi.

Selain itu, selepas mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain industri makanan dan peruncitan hari ini, Alexander sekali lagi menegaskan bekalan adalah mencukupi maka orang ramai tidak perlu bimbang meskipun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

KPDNHEP juga katanya, akan terus memantau harga-harga di pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai runcit bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.-MalaysiaGazette