Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menanggung sepenuhnya makanan untuk kesemua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tidak balikkampung selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa yang dianggotai 19 Kementerian di Jabatan Perdana Menteri pagi ini.

Katanya, keputusan tersebut dicapai selepas menerima aduan dan keluhan daripada ibu bapa bahawa anak mereka yang belajar di IPTA terpaksa tinggal di kolej masing-masing.

“Ada aduan ibu bapa bahawa walaupun tidak diteruskan pembelajaran, anak mereka terpaksa tinggal di kolej dan di sini bimbang akan isu dari segi makanan untuk mereka.

“Didakwa ramai pelajar yang kekal di kolej tidak ada kemampuan wang membeli makanan.

“Maka mesyuarat jawatankuasa hari ini membuat keputusan kerajaan akan menanggung sepenuhnya makanan untuk kesemua pelajar di kolej asrama IPTA sekarang dan ibu bapa tidak perlulah bimbang lagi,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Tambah beliau, makanan bagi kesemua pelajar akan diedarkan dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan pelajar terbabit dan ibu bapa mereka tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.

Beliau yang diminta mengulas mengenai bilangan pelajar terlibat, Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membuat pengiraan dan mengumpul jumlah pelajar yang terlibat dalam bantuan makanan tersebut.

“Pihak NADMA akan membuat pengiraan itu (jumlah pelajar yang duduk di kolej),” katanya. – MalaysiaGazette