KUALA LUMPUR – Penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja menghantui seluruh dunia sebaliknya Malaysia sendiri begitu terkesan dengan kini angka mencecah hampir 1,000 kes dikatakan positif selain sudah meragut dua nyawa.

Kerajaan begitu bertungkus lumus memastikan ianya dapat dibendung antaranya dengan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa sejak Rabu lepas, nampak seperti ada perkembangan positif penurunan kes.

Bagaimanapun pada masa sama, kerajaan juga digesa untuk memberikan fokus terhadap golongan warga asing yang membanjiri negara ini khasnya dalam menangani isu Covid-19.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T Mohan memberitahu MalaysiaGazette, antara aspek yang membimbangkan adalah kumpulan pendatang tanpa izin yang berada di serata pelosok negara dan kemungkinan mereka dijangkiti Covid-19 juga tidak boleh diketepikan.

Kata beliau, ramai juga ketika ini sejak pihak polis melakukan operasi besar-besaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan akan bertindak bersembunyi supaya tidak ditangkap, mungkin ada juga yang sakit atau terjangkit Covid-19 namun takut mendapatkan bantuan perubatan.

“Hakikatnya untuk fikir semua ini pastinya takut dan bimbang sekali lagi-lagi golongan pendatang tanpa izin ini sememangnya tidak akan keluar sebaliknya bersembunyi, mereka ini juga suka duduk beramai-ramai. Bagaimana jika berlaku jangkitan? Sangat menakutkan untuk fikir semua ini.

“Sememangnya apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan adalah antara yang terbaik melindungi, memerangi membendung wabak ini dari terus menular tetapi timbul juga persoalan apakah nasib kumpulan. Mereka juga berisiko besar dijangkiti atau menyebar.

“Saya ingin beri cadangan supaya kerajaan dapat pertimbang pemberian pengampunan atau pengecualian kepada golongan pekerja asing serta pelacong yang gagal perbarui visa dan permit.

“Ini termasuklah yang telah melebihi tempoh untuk tinggal di negara ini juga pembatalkan penerbangan.

“Semoga cadangan ini dapat pertimbangan, harap pihak berwajib dapat memikirkan mekanisma terbaik menggalakan golongan ini tampil secara sukarela, ini adalah baik untuk mereka dan keseluruhan rakyat di negara ini,” katanya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohan yang juga Naib Presiden MIC merayu supaya caj rawatan sebanyak RM600 itu dapat dikecualikan untuk warga asing buat sementara waktu.

“Tidak wajar untuk terus mengenakan bayaran yang begitu tinggi serta menakutkan pekerja itu berikutan Covid-19. Kos itu sudah tentu akan menghalang pekerja asing bergaji rendah daripada mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan.

“Apa yang membimbangkan adalah pilihan yang berkemungkinan akan diguna pakai oleh warga asing ini iaitu memilih ubat alternatif yang lebih murah tanpa menyedari risiko bahaya ubat itu.

“Sehubungan itu, saya menggesa kementerian berkaitan iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan segera dengan mengkaji prosedur rawatan dan pendaftaran warga asing. Tolonglah,” rayunya. –MalaysiaGazette

Jumlah positif Covid-19 hampir cecah 1,000 kes